KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Putrajaya mengambil tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi terhadap Indonesia jika Jakarta terus enggan menerima bantuan asing bagi menangani krisis jerebu berulang setiap tahun.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, rakyat tidak boleh lagi berdiam diri berikutan krisis jerebu rentas sempadan yang kini menjejaskan kesihatan awam, sekolah ditutup, dan menjejaskan mata pencarian pekerja sektor gig.
Beliau menyifatkan ia sebagai krisis struktur jerebu buatan manusia akibat kebakaran hutan dan lahan (karhutla) di Indonesia yang bertambah serius tahun ini, meluas sehingga 300,000 hektar atau 70% lebih besar berbanding 2023.
"Amat dikesali bahawa kerajaan Republik Indonesia enggan meneruskan bantuan antarabangsa daripada negara Jepun yang telah pun tamat ataupun segera menerima bantuan negara asing yang ditawarkan termasuk Malaysia.
“Alasannya ialah Indonesia mampu menangani karhutla sungguhpun realiti yang sebenar adalah sebaliknya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Lim mencadangkan Malaysia, Singapura, Filipina, dan Indonesia menubuhkan petugas khas karhutla Asean secara tetap dengan keanggotaan penyelamat kekal sepanjang tahun yang boleh bertindak serta-merta apabila berlaku kebakaran.
"Sekiranya kerajaan Indonesia masih enggan menerima petugas khas karhutla Asean atas sebab kedaulatan negara, maka kerajaan Malaysia tidak ada jalan lain kecuali bertindak dengan memulakan tuntutan ganti rugi secara perundangan," katanya.
Semalam, bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut mendesak Putrajaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap Jakarta berhubung isu jerebu rentas sempadan.
Khairy berkata, Malaysia tidak boleh lagi sekadar bersikap diplomatik atau berpuas hati dengan penjelasan Indonesia, memandangkan pencemaran udara akibat kebakaran hutan sudah membelenggu rakyat negara ini sejak berdekad lalu.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, berkata penggubal dasar perlu mempertimbangkan keberkesanan, implikasi diplomatik, dan beban pembuktian bagi mana-mana undang-undang jerebu merentas sempadan yang dicadangkan, serta sama ada ia boleh dikuat kuasa.
