KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menangguhkan sabitan dan hukuman penjara 15 tahun, serta denda RM11.387 bilion dalam kes 1MDB.
Hakim Noor Ruwena Md Nordin menolak permohonan Najib selepas mendengar hujah daripada peguamnya, Shafee Abdullah, dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
"Tiada merit dalam permohonan ini," katanya.
Hukuman 15 tahun Najib dijadual bermula pada 2028, selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International.
Dengan keputusan ini, waran komital baharu akan dikeluarkan terhadap Najib dalam tempoh dua tahun.
Ruwena berkata mahkamah mesti mempertimbangkan kepentingan awam dengan mengambil kira berat kesalahan.
Katanya, antara alasan yang dikemukakan Najib bagi memohon penangguhan dalam kes 1MDB adalah keadaan kesihatan.
"Saya mempunyai tanggapan bahawa keperluan perubatan pemohon dijaga dengan sangat baik oleh hospital-hospital dan pakar-pakar kerajaan berdasarkan laporan perubatan yang dikemukakan kepada mahkamah," katanya.
Ruwena beritahu Shafee bahawa Najib boleh memohon penangguhan di Mahkamah Rayuan.
Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Denda tambahan RM2.08 bilion turut dikenakan sebagai jumlah keseluruhan bagi pertuduhan pengubahan wang haram tersebut.
Awal hari ini, Shafee berkata rayuan 1MDB Najib akan menjadi bersifat akademik sekiranya tiada penangguhan terhadap hukuman penjara 15 tahun dan sabitan ke atasnya.
"Namun begitu, rekod-rekod rayuan masih belum siap, dan tiada tarikh pendengaran yang telah ditetapkan," katanya.
Ruwena kemudian bertanyakan peguam berkenaan di mana Najib sedang menjalani hukuman pada masa ini.
"Beliau masih berada di penjara Kajang kerana kami belum menjelaskan (denda) RM50 juta itu. Sebaik sahaja ia dibayar, beliau akan dipindahkan ke rumahnya," kata Shafee.
Akram membantah permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dan pembayaran denda tersebut, dengan berhujah bahawa kesalahan-kesalahan berkenaan adalah serius kerana ia melibatkan 'pelencongan dana berdaulat'.
