PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Melaka menolak rayuan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap sabitannya atas lapan pertuduhan rasuah.
Hakim Suria Kumar Paul berkata semua bukti dokumentari, termasuk sebuah buku yang merekodkan bayaran kepada Che Fadzlie Izwan Che Johari serta keterangan saksi menunjukkan wujud sebuah sindiket melindungi lori membawa muatan berlebihan.
Berdasarkan fakta kes, Fadzlie terbabit sindiket tonto, iaitu rangkaian pemberi maklumat dan orang tengah yang dibayar untuk mengekori, memantau serta mengganggu pegawai penguat kuasa JPJ.
Fadzlie ditugaskan untuk memastikan tiada tindakan diambil terhadap lori membawa muatan berlebihan.
Orang tengah akan mengutip wang daripada syarikat lori sebelum menyerahkan wang itu kepada Fadzlie untuk diagihkan kepada pegawainya.
Pada 18 Mac 2025, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM80,000 terhadap Fadzlie atas semua lapan pertuduhan.
Suria Kumar memutuskan sabitan Fadzlie di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadikan perbuatan memberi suapan sebagai kesalahan jenayah, kukuh dan wajar dikekalkan.
"Rayuan ini tiada merit," kata Suria Kumar.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Fadzlie dan beberapa pegawai ditahan dalam satu operasi menyasarkan lori membawa muatan berlebihan pada Mac 2021.
Fadzlie dalam pembelaannya menafikan penglibatannya dalam melepaskan lori membawa muatan berlebihan, dengan mendakwa sebahagian wang yang diberikan kepada pegawainya untuk tujuan "pembaharuan cukai jalan".
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh mewakili Fadzlie, manakala Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Norsaari mewakili pihak pendakwaan.
