PETALING JAYA: Operator helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas di Sarawak bulan lalu, Layang Layang Aerospace Sdn Bhd, menegaskan pemeriksaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak menemukan sebarang rekod tidak jelas atau kecacatan dalam penyelenggaraan pesawatnya.
Pengarah Urusan Kumpulan Layang Layang Johan Poong Abdullah berkata, laporan awal mengenai nahas helikopter yang mengorbankan kesemua lima mangsa di dalamnya mendapati penyelenggaraan dan pengurusan kesemua pesawat milik syarikat itu berada dalam keadaan teratur.
“Laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang dikeluarkan semalam menyatakan dengan jelas, semua dokumen berkaitan penyelenggaraan helikopter itu teratur. Maklumat lanjut akan dimuatkan dalam laporan akhir,” katanya kepada FMT.
Memetik laporan itu, Johan menegaskan, juruterbang terbabit memiliki lesen, kelayakan dan kelulusan yang sewajarnya untuk mengendalikan penerbangan tersebut selaras dengan peraturan sedia ada.
“Juruterbang itu memegang perakuan perubatan yang sah dan disahkan sihat untuk mengendalikan penerbangan. Helikopter itu pula disahkan layak terbang semasa pelepasan selain memiliki perakuan pendaftaran serta perakuan kelayakan terbang yang sah,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberitahu Dewan Rakyat bahawa CAAM membangkitkan tiga isu penyelenggaraan semasa memeriksa operasi penyelenggaraan Layang Layang dari 1 hingga 4 Sept, disusuli pemeriksaan susulan yang selesai pada 6 Sept, iaitu dua hari sebelum nahas berlaku.
Loke berkata, ketiga-tiga isu itu melibatkan perancangan kakitangan penyelenggaraan syarikat, rekod tidak jelas mengenai beberapa pemeriksaan penyelenggaraan berjadual tertentu, serta prosedur bertulis yang tidak mencukupi bagi penerusan operasi selepas kecemasan.
Katanya, dua daripada isu itu telah diselesaikan, manakala isu ketiga berkaitan pengiraan keperluan tenaga kerja syarikat masih menunggu pengesahan akhir CAAM ketika nahas berlaku.
Johan berkata, pemeriksaan tersebut merupakan semakan rutin bagi semua pengendali pesawat sebelum pembaharuan lesen, sambil menambah bahawa ketiga-tiga isu yang dibangkitkan itu tiada kaitan dengan kerja penyelenggaraan oleh jurutera pesawatnya.
Beliau berkata, lesen operasi syarikat itu telah dibaharui bagi tempoh tiga tahun lagi susulan pemeriksaan berkenaan, sebelum nahas berlaku.
“Perkara berhubung perancangan kakitangan penyelenggaraan dan rekod pemeriksaan berjadual yang tidak jelas telah pun dijelaskan, dan CAAM menerima penjelasan serta penyesuaian yang kami lakukan," katanya.
“Mengenai isu cara syarikat mengira keperluan tenaga kerjanya pula, kami telah menjelaskan bahawa Layang Layang mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk mengendalikan operasinya di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak."
Johan berkata, Layang Layang bukan sahaja berbangga dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan cekap, malah sentiasa menitikberatkan amalan terbaik bagi membina keyakinan orang ramai terhadap syarikat itu.
