KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memulangkan 497.82 bitcoin, bernilai USD17.6 juta berdasarkan penilaian pada 2023, kepada sembilan individu yang ditipu dalam skim pelaburan yang menjanjikan pulangan harian sebanyak 1%.
Bitcoin itu dirampas daripada dua dompet mata wang kripto yang dikaitkan dengan Fadino Khairuman dan Asyran Ismail.
Hakim Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan sembilan individu itu, yang mendepositkan sejumlah 362.04 bitcoin ke dalam dompet milik Bitkingdom antara 2015 hingga 2016 selepas diperdaya oleh Fadino.
Bitcoin itu kemudiannya dipindahkan daripada dompet Bitkingdom ke dompet milik Fadino dan Asyran.
Arief mendapati bahawa sembilan individu itu berjaya membuktikan mereka ditipu oleh kedua-dua lelaki berkenaan, yang membuat representasi palsu mengenai pulangan harian yang dijanjikan.
Beliau berkata bitcoin itu telah melalui 'proses pelapisan' akibat transaksi berkenaan.
“Pihak menuntut tidak meminjamkan bitcoin mereka kepada pihak responden dan mereka tidak menuntut sebarang hutang,” katanya.
“Mereka menyatakan bahawa bitcoin itu diperoleh daripada mereka melalui penipuan, dan bitcoin itu, atau apa-apa yang kini menggantikannya, masih milik mereka.”
Beliau berkata setiap pihak menuntut telah membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa mereka mendepositkan jumlah bitcoin yang dituntut ke dalam Bitkingdom dan mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap harta yang dirampas itu.
Mahkamah memerintahkan 497.82 bitcoin itu diagihkan kepada sembilan individu berkenaan, dengan setiap seorang menerima antara 0.68% hingga 11.7% daripada jumlah keseluruhan, mengikut kadar deposit masing-masing.
Pihak menuntut ialah Afkar Lotfi Adam, Alfiyanora Nursal, Faridah Rawi, Khairullutfi Nursal, Alif Bassari, Nazlulfarid Ramlan, Nurafiqah Che Azmi, Siti Farhana Mohamed dan Khizanif Khizan.
