PETALING JAYA: Semua 18 Adun Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dinasihat tidak lagi campur tangan dalam hal berkaitan Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) serta institusi diraja, kata Zahid Hamidi.
Zahid yang juga pengerusi BN, berkata permasalahan undang-undang dan institusi diraja perlu dipisahkan daripada urusan pentadbiran kerajaan.
“Pendirian kita ialah kita mesti memisahkan permasalahan undang-undang dan juga institusi diraja dengan masalah pentadbiran kerajaan.
“Sebab itu nasihat saya kepada Adun-adun kita supaya tidak lagi campur tangan dalam soal-soal DKU dan juga institusi-institusi diraja,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Bercakap di Kuala Lumpur selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), beliau turut menyeru pihak tidak bersama kerajaan negeri bekerjasama dengan Adun kerajaan.
Katanya, kerajaan Negeri Sembilan kini sedang menyediakan draf bagi pembentangan Belanjawan Negeri 2027.
“Walaupun kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai exco ketika ini tetap menyediakan draf bagi pembentangan belanjawan negeri," katanya.
Zahid yang juga presiden Umno, berkata rakyat yang memberi mandat mengharapkan kerajaan negeri tidak menjadi kerajaan tergantung.
“Mereka mahu agensi dan jentera kerajaan berjalan seperti biasa atau bertambah baik. Yang penting, manifesto harus diterjemahkan pelaksanaannya dan permasalahan yang ada didepani dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sebelum ini, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurkaannya terhadap Menteri Besar Ismail Lasim
dalam kejadian selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah.
Pada 14 Okt, Raja-raja Melayu menyeru pihak-pihak luar tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang Dipertuan Besar yang sedang dihadapi Negeri Sembilan.
Raja-raja Melayu berkata, usaha penyelesaian hendaklah diserahkan kepada pihak yang berkepentingan dan berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib, dan berwibawa.
