Kes jenayah dalam talian di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan 10 peratus kepada 2,539 kes setakat September tahun ini, menurut Ketua Polis Negeri Sembilan.
SEREMBAN: Kes jenayah dalam talian di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan 10 peratus kepada 2,539 kes dengan kerugian RM39.86 juta setakat September tahun ini berbanding 2,807 kes membabitkan RM73.44 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata bagaimanapun kes penipuan e-dagang (e-belian) meningkat sebanyak 24 peratus dengan 828 kes manakala kes pinjaman tidak wujud (PTW) meningkat 11 peratus (404 kes) berbanding tahun sebelumnya masing-masing mencatat 667 dan 365 kes.
“Penipuan pelaburan menunjukkan penurunan daripada 374 kes kepada 298 kes iaitu turun 20 peratus manakala jumlah kerugian bagi kategori itu juga mencatatkan pengurangan iaitu RM24.50 juta atau 66 peratus.
“Penipuan dalam telefon (phone scam) mencatatkan penurunan 28 peratus daripada 1,095 kes kepada 784 kes pada tahun ini membabitkan kerugian RM7.24 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penurunan jumlah kes dan kerugian itu hasil pelaksanaan program kesedaran, penguatkuasaan serta kerjasama strategik khususnya bagi kategori phone scam dan pelaburan yang sebelum ini menjadi penyumbang utama kes serta kerugian.
Alzafny berkata bagaimanapun peningkatan kes bagi e-dagang dan PTW memerlukan perhatian serta pemerkasaan strategi pencegahan bagi membendung trend berkenaan daripada terus meningkat.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya lebih peka terhadap taktik penipuan dan membuat semakan sebelum membuat transaksi termasuk pemerkasaan penggunaan saluran pencegahan di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan Semak Mule bagi mengelakkan menjadi mangsa.
