TASEK GELUGOR: Bayi lelaki berusia 10 bulan yang meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh di rumahnya di Tasek Gelugor, Isnin lepas disahkan mengalami kecederaan kepala akibat trauma daya tumpul, berdasarkan hasil bedah siasat.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kecederaan berkenaan boleh membawa maut.
"Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang konsisten dengan trauma daya tumpul, namun doktor tidak dapat menentukan sama ada kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan atau perbuatan orang lain serta berapa kali impak berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sehubungan itu, beliau berkata pengasuh berumur 25 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak.
Siasatan masih dijalankan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, ibu bayi itu, Sharifatul Hafizah Sahul Hamid, 34, memaklumkan bedah siasat mengesahkan bahawa anak bongsunya, Muhammad Faris Syazwan Muhammad Zulkarnain, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan dalam otak.
Sharifatul dilaporkan berkata jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Neting, Kelantan pagi tadi.
