PETALING JAYA: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng menggesa polis memastikan tiada cubaan menyembunyikan fakta dalam siasatan ke atas serangan di Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) di Kuching yang membabitkan seorang suspek 16 tahun.
Presiden Parti Bangsa Malaysia itu berkata, pihak berkuasa perlu mendedahkan maklumat kes dengan segera dan telus susulan khabar angin mendakwa ia membabitkan anak daripada "keluarga politik sangat berpengaruh" di Sarawak.
"Ini insiden amat malang dan saya tidak mahu menjadikannya isu politik. Namun, saya ingin mengingatkan pihak berkuasa terbabit bahawa maklumat yang didedahkan mestilah disampaikan dengan segera, telus dan berlandaskan fakta.
"Ingat saja kes Zara Qairina Mahathir di Sabah – tanpa penjelasan sewajarnya, isu itu akhirnya menjadi perkara sangat berunsur politik," katanya dalam hantaran di Facebook.
Tegasnya, beliau tidak mahu mempolitikkan perkara itu, tetapi kes berkenaan mendapat perhatian orang ramai.
Semalam, suspek remaja itu didakwa menyerang seorang guru di TPH menggunakan kapak kecil menyebabkan tangan mangsa cedera. Suspek turut dilaporkan menyiarkan serangan itu secara langsung di media sosial.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak, dilaporkan berkata pelajar terbabit ditahan dan telah dibebaskan dengan jaminan.
Hari ini, polis Sarawak memaklumkan sidang media mengenai kes itu akan diadakan pada 27 Okt ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
