PETALING JAYA: Batik Air membatalkan jadual penerbangan ke Arab Saudi malam ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang mengorbankan kira-kira 12 nyawa, selain mencederakan lebih 300.
Syarikat penerbangan itu berkata, Penerbangan OD701 menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (JED) pada 7.25 malam dibatalkan sebagai 'langkah berjaga-jaga'.
Katanya, keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapal kekal menjadi keutamaan tertingginya.
“Batik Air sedang memantau perkembangan dan mengekalkan koordinasi bersama pihak berkuasa penerbangan berkaitan, pengendali lapangan terbang serta pihak berkeperluan lain untuk menilai potensi kesan terhadap operasi penerbangan.
“Syarikat penerbangan akan terus mengkaji semula keadaan dan membuat keputusan berasaskan maklumat terkini yang diperoleh serta keperluan keselamatan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Batik Air berkata, penumpang yang terjejas telah dijadualkan semula ke penerbangan seterusnya yang tersedia dan akan dimaklumkan mengenai perubahan tersebut.
Penumpang juga digalak memantau laman web rasmi dan saluran media sosial Batik Air bagi mendapatkan kemas kini terkini mengenai operasi penerbangan.
Pada Sabtu, lapangan terbang antarabangsa Riyadh diserang buat kali ketiga dalam tempoh seminggu oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Sebelum serangan itu, dua serangan terdahulu ke atas lapangan terbang berkenaan mengorbankan empat nyawa serta menyebabkan kerosakan teruk pada sebuah pesawat komersial Arab Saudi.
Awal hari ini, New Straits Times yang memetik pengguna media sosial melaporkan beberapa penerbangan menuju ke Arab Saudi dilencongkan ke Madinah susulan serangan di Riyadh.
