PETALING JAYA: Khabar angin bertiup kencang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan minggu ini bagi membuka laluan kepada PRN ke-13.
Spekulasi itu susulan khabar angin Premier Sarawak, Abang Johari Openg, akan membuat pengumuman penting pada Jumaat ini.
Berita Harian melaporkan terdapat juga spekulasi pembubaran diumumkan hari ini sempena hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sarawak ke-19.
DUN Sarawak akan terbubar secara automatik Disember ini, jika pembubaran tidak dilakukan lebih awal dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.
PRN Sarawak terakhir diadakan pada 18 Dis 2021.
Menteri negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata PRN mungkin diadakan Disember ini, dengan tarikh sesuai antara 12 hingga 19 Dis.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan pada PRN 2021, manakala parti pembangkang ketika itu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP dua kerusi.
Adun Batu Lintang, See Chee How kemudian meninggalkan PSB untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyuarakan sokongan kepada Abang Johari.
PSB akhirnya dibubarkan apabila pemimpin serta ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), parti komponen GPS, secara beramai-ramai.
Ini bermakna DUN Sarawak kini terdiri daripada 79 Adun GPS, seorang wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan dan dua Adun DAP di blok pembangkang.
