PETALING JAYA: Semua sekolah di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan serta Kuantan, Rompin dan Bentong di Pahang beroperasi seperti biasa esok, tetapi semua aktiviti luar ditangguhkan akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan berkata, murid digalak memakai pelitup muka, manakala ibu bapa atau penjaga yang bimbang dengan kesihatan anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah, dengan syarat pihak sekolah dimaklumkan terlebih dahulu.
Tegasnya, pentadbir sekolah perlu sentiasa memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberi perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.
Dalam kenyataan berasingan, ia turut menasihatkan orang ramai merujuk saluran rasmi atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat terkini.
Di Pahang, Jabatan Pendidikan memaklumkan sekolah di Kuantan, Rompin dan Bentong akan dibuka esok, tetapi semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.
"Bagi daerah lain, sekolah beroperasi seperti biasa. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan lanjutan tarikh akhir pengisian markah beberapa pentaksiran sekolah dalam Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu susulan gangguan sesi persekolahan dan pelaksanaan pentaksiran akibat jerebu.
Tarikh akhir pengisian markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Peperiksaan Akhir Sesi Akademik (PAT/PASA) dilanjutkan seminggu daripada 21 Nov kepada 28 Nov ini, manakala pengisian markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilanjutkan daripada 30 Nov kepada 5 Dis ini.
