KUALA LUMPUR: Kenyataan Barisan Nasional (BN) bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka manakala baki tujuh kerusi ditandingi PAS serta rakan dalam Perikatan Nasional (PN), masih belum dimuktamadkan.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata rundingan kerjasama dengan BN akan terus diperincikan menjelang hari penamaan calon, termasuk mengenai pembahagian kerusi dan gerak kerja pilihan raya.
“Itu belum muktamad lagi (BN bertanding di 21 kerusi dan PAS-PN tujuh kerusi). Ada banyak hari lagi (sebelum penamaan calon).
“Kerjasama tetap kerjasama (dengan BN), tetapi belum lagi memuktamadkan bentuk kerjasama dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur selepas menghadiri pendengaran permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Semalam, Zahid yang juga presiden Umno dilaporkan berkata BN akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala tujuh lagi diperuntukkan kepada PAS dan rakan-rakannya.
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 Nov, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Okt.
