PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan sebarang usaha 'memadamkan' gabungan itu tidak akan mematahkan tekad mereka untuk terus bertanding dan memperjuangkan hak di pentas politik tanah air.
Beliau berkata, PN berada di landasan yang benar dalam mempertahankan hak mereka menerusi saluran undang-undang.
"Alhamdulillah, kita bersyukur atas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berhubung pembatalan pendaftaran PN.
"Usaha pihak yang mahu memadamkan PN tidak akan mematahkan tekad kita. PN tetap teguh dan perjuangan ini akan diteruskan," katanya dalam kenyataan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa PN akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan sambil mempertahankan hak gabungan itu dengan tegas.
Dalam pada itu, Samsuri menyeru agar seluruh jentera parti kini memberikan tumpuan penuh kepada persiapan hadapi PRN Melaka.
"Perkukuh persiapan, eratkan kerjasama dan bawa tawaran terbaik untuk rakyat. Kita terus mara," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan JPPM yang membatalkan pendaftaran gabungan itu.
Keputusan itu membolehkan PN bertanding pada PRN Melaka 14 Nov depan menggunakan nama dan lambang gabungan berkenaan.
