PETALING JAYA: Semua 3,000 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Perancis disahkan selamat susulan rusuhan dan protes yang melanda negara itu, kata Duta Besar Malaysia ke Perancis Eldeen Husaini Mohd Hashim,
Beliau berkata, setakat ini tiada rakyat Malaysia cedera atau terperangkap dalam protes yang dilaporkan bertukar ganas di beberapa lokasi sejak beberapa hari lalu.
"Alhamdulillah, setakat ini mereka semuanya selamat.
"Kita melakukan pemantauan secara berterusan, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Perancis, dewan bandar raya dan Kementerian Luar bagi mengikuti perkembangan serta memberikan bantuan," katanya, menurut Berita Harian.
Mengenai keadaan di Paris, beliau berkata keadaan masih tenang walaupun protes masih dilaporkan berlaku di beberapa kawasan.
Menurutnya, beberapa lagi protes dijangka berlaku selagi tuntutan pelajar dan NGO belum dipersetujui kerajaan Perancis, namun ia mungkin dilakukan dalam skala lebih kecil.
Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berkunjung ke Perancis supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan protes berisiko tinggi dan terus berhubung dengan pegawai kedutaan.
"Bagi mereka yang tinggal di Perancis, nasihat terbaik ialah mengelakkan sepenuhnya kawasan protes kecuali jika benar-benar perlu. Pelancong yang merancang percutian, pantau keadaan dengan teliti dan pertimbangkan untuk menjadualkan semula perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan reda.
"Kita juga meminta pengembara dan pelancong Malaysia di Perancis supaya berdaftar dengan kedutaan bagi memudahkan urusan komunikasi serta penyaluran bantuan," katanya.
Gelombang protes dan rusuhan dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah sejak September lalu sebelum memuncak di bandar utama termasuk Paris dan Milan, Itali, pada Sabtu.
Protes berkenaan tercetus susulan kemarahan berhubung isu kebajikan pelajar, kemerosotan perkhidmatan awam dan peningkatan kos sara hidup.
Di Perancis, pergolakan itu dilaporkan mencetuskan antara insiden keganasan bandar terburuk sejak beberapa tahun lalu.
