BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempergiat usaha menangani keganasan terhadap wanita menerusi program advokasi, intervensi awal dan sokongan pemulihan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta membantu mangsa mendapatkan perlindungan dan membina semula kehidupan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha itu, dilaksanakan secara berfasa dan berterusan menerusi Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT), Program Santun Kasih Pemandiri terhadap Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) dan program Road to Eliminate Violence Against Women (EVAW).
Beliau berkata pendekatan berkenaan bukan sekadar memberi kesedaran mengenai pelbagai bentuk keganasan, malah menyediakan ruang kepada mangsa untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan maklumat perundangan dan mengakses bantuan bagi membolehkan mereka kembali berdikari.
“Melalui program seperti ini, kita mahu mangsa dapat bangkit semula termasuk dari segi ekonomi, supaya mereka mampu berdikari dan membantu keluarga masing-masing.
“Kita juga memberi keyakinan kepada mereka dari segi perundangan, termasuk menerangkan tindakan yang boleh diambil serta bantuan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program EVAW sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita peringkat Pulau Pinang 2026, di sini hari ini.
Program dianjurkan JPW menerusi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) Pulau Pinang dengan 260 peserta menghadirinya itu, turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah JPW Hanani Sapit.
Nancy memaklumkan Program Aku Wanita@KRT telah menyantuni 4,899 peserta, manakala 322 individu menerima sokongan menerusi sesi intervensi psikologi K-Chat sehingga 26 Sept.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan pendekatan berasaskan komuniti yang menyediakan ruang interaksi secara langsung, dalam meningkatkan kesedaran serta keyakinan orang ramai untuk mendapatkan bantuan.
Nancy berkata keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal atau kata-kata kesat, tetapi turut merangkumi penderaan ekonomi, kawalan kewangan, pengasingan sosial serta ugutan melalui ruang digital.
Mengulas statistik keganasan rumah tangga, Nancy memaklumkan sebanyak 5,278 kes dilaporkan di seluruh negara sehingga Ogos, berbanding 5,041 kes dalam tempoh sama tahun lepas manakala Pulau Pinang pula merekodkan 228 kes dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata peningkatan laporan tidak semestinya menggambarkan peningkatan kejadian semata-mata, sebaliknya menunjukkan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat dan keberanian mangsa untuk tampil mendapatkan bantuan.
“Keganasan rumah tangga turut memberi kesan kepada kanak-kanak yang menyaksikan atau mendengar kejadian berkenaan khususnya dari segi emosi, tumpuan pembelajaran dan rasa selamat, selain berisiko mewarisi corak tingkah laku tidak sihat apabila dewasa,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata KPWKM menerusi JPW turut melaksanakan program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (MATAHARI), program literasi perundangan dan hak wanita (IRIS) serta Skuad Waja, sebagai rangkaian sokongan komuniti bagi memperkasakan wanita dan membantu mereka mendapatkan bantuan.
Selain itu, Nancy berkata inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Edukasi untuk Wanita (PRISMANITA) pula, menjadi saluran awal untuk mendapatkan maklumat, saringan awal, khidmat nasihat, sokongan psikososial serta rujukan kepada agensi atau pakar bersesuaian.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keganasan dan gangguan juga semakin berlaku dalam ruang digital termasuk ugutan, pengintipan serta penyebaran kandungan peribadi untuk mengawal atau memaksa mangsa melakukan sesuatu di luar kehendak mereka.
Terdahulu, Nancy berkata KPWKM memperuntukkan kira-kira RM1 juta tahun ini, bagi membantu wanita yang berhadapan kesukaran kewangan, termasuk mangsa keganasan rumah tangga yang perlu membawa anak-anak dan meninggalkan pasangan mereka.
