PETALING JAYA: Seramai 300 vendor Sarawak mendapat kontrak berjumlah RM2.68 bilion daripada Petronas pada separuh pertama 2026, kata Timbalan Premier, Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau mendedahkan angka itu pada ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, lapor Dayak Daily.
Menurutnya, nilai terkumpul kontrak yang dianugerahkan Petronas kepada vendor Sarawak sejak 2014 berjumlah RM51.5 bilion, termasuk projek dilaksanakan di luar negeri itu.
Katanya, syarikat Sarawak memerlukan kepakaran teknikal, pensijilan, pembiayaan dan akses kepada kontrak sebenar untuk beralih kepada bidang kerja bernilai tambah lebih tinggi.
Beliau yang turut menyelia portfolio perdagangan antarabangsa, industri dan pelaburan, berkata Sarawak Energy, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) serta Petra Energy turut menyokong syarikat tempatan melalui inisiatif pembangunan vendor dan perolehan.
Menurutnya, program pembangunan vendor Sarawak Energy telah menyokong 212 vendor sejak 2019, dengan 197 daripadanya menamatkan program itu setakat bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 154 merupakan vendor Bumiputera dan 43 vendor bukan Bumiputera, manakala 448 individu mendapat pensijilan kompetensi teknikal.
Katanya, Petros turut berhasrat memperluaskan peluang kepada syarikat Sarawak lain melalui pelaburan dirancang dalam aktiviti luar pesisir dan darat, serta sektor gas dan tenaga.
Pelan Hala Tuju Gas Sarawak menggariskan 15 program, termasuk lapan inisiatif utama merangkumi permintaan industri, infrastruktur, teknologi, pembangunan keupayaan dan pembiayaan.
Sementara itu, Petra Energy menganugerahkan kontrak kepada 78 vendor Sarawak sehingga bulan lalu, meningkat daripada 62 vendor pada 2025.
"Syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan kementerian saya untuk membangunkan program bagi memperkukuh keupayaan vendor tempatan."
Awang Tengah berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan komitmen sewajarnya berkaitan pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta penyertaan pembekal tempatan dalam pelaburan strategik, jika bersesuaian dan selaras undang-undang.
Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pemain industri, institusi latihan dan rakan kongsi kewangan bagi memastikan program latihan serta pensijilan benar-benar memenuhi keperluan perolehan sebenar.
"Matlamat kami adalah membangunkan vendor tempatan yang mampu bersaing bagi projek kompleks di Sarawak dan seterusnya."
Angka ini didedahkan ketika pertikaian undang-undang belum selesai antara Petronas dan Sarawak berhubung kerangka kawal selia aktiviti petroleum berkaitan negeri itu, dengan Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar kes itu Januari depan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mendedahkan Sarawak menerima manfaat kewangan terkumpul berkaitan minyak dan gas berjumlah RM96.2 bilion sehingga 2024.
Petronas turut membayar dividen kepada kerajaan persekutuan, yang menyumbang kepada hasil negara.
