PETALING JAYA: Malaysia masih tidak mempunyai strategi jelas memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi mentransformasikan ekonominya serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan, kata bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Shahril berkata, peruntukan Belanjawan 2027 bagi penggunaan AI kurang memperincikan bagaimana pembiayaan itu akan diterjemahkan kepada hasil yang bermakna kepada perniagaan dan ekonomi secara menyeluruh.
Beliau berkata, bajet itu merangkumi 100,000 langganan AI percuma untuk golongan belia pada tahun hadapan serta RM30 juta di bawah dana pemerkasaan AI diuruskan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengguna pakai AI.
Namun, Shahril mempersoalkan sama ada pembiayaan tersbeut mampu membawa perubahan signifikan, sambil menekankan peruntukan RM30 juta itu jika dibahagikan hanya bersamaan sekitar RM7,500 bagi setiap syarikat.
"Dan saya pun tak tahu apa sebenarnya pengkhususan perincian RM7,500 lebih ini yang akan dibelanjakan oleh MDEC," katanya dalam audio siar Keluar Sekejap bersama bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Shahril turut menyuarakan kebimbangan inisiatif AI itu akan mengikut jejak langkah geran terdahulu yang bertujuan membantu perniagaan mendigitalkan operasi mereka, di mana impak pembiayaan berkenaan tidak dipaparkan dengan jelas.
"Kita ada 'headline figure', tapi kita tak tahu sebenarnya apa yang dibuat untuk bantu mengadaptasi AI," katanya.
Shahril membandingkan pendekatan Malaysia dengan ikhtiar Singapura dalam menarik syarikat serta bakat di barisan hadapan perubahan teknologi untuk beroperasi di sana.
Beliau memetik Anthropic, OpenAI, dan ElevenLabs sebagai contoh syarikat AI yang telah bertapak di Singapura.
"Saya rasa di Pulau Pinang dengan Kulim (Kedah) kita buat 'packaging' dan 'testing' ke atas cip. Tetapi, tidak menjana satu tenaga yang boleh membawa kepada segala macam bentuk pembinaan atas aplikasi dan juga atas kecerdasan yang kita 'host' di sini."
Bagaimanapun, Shahril berkata aktiviti tersebut masih belum menghasilkan momentum sama untuk membangunkan aplikasi dan keupayaan AI di peringkat tempatan.
"(Keupayaan AI) memerlukan satu syarikat...satu kerajaan, satu kementerian yang benar-benar memahami apa yang dia nak daripada AI untuk Malaysia," katanya.
Shahril berkata, Singapura mempunyai jawapan yang jelas mengenai apa yang mahu dicapainya dalam sektor AI, namun beliau mempersoalkan sama ada pemimpin Malaysia mempunyai kejelasan serupa.
"Saya tak pasti Malaysia, kalau kita tanya mana-mana menteri pun, PMX pun, dia tahu apa yang dia nak daripada AI Malaysia. Saya tidak fikir begitu," katanya.
Katanya, Malaysia sebahagian besarnya mendapat manfaat daripada kesan limpahan, termasuk pelaburan dalam industri berkaitan semikonduktor, pasaran modal, dan pelaburan langsung asing.
Tetapi, beliau berkata kerajaan masih belum menzahirkan strategi jelas menggunakan AI untuk mentransformasikan ekonomi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
"Tetapi, bagaimana ia nak merevolusikan ekonomi kita dan penyampaian kerajaan kita, tak nampak strategi itu. Dan belanjawan ini tak membantu ke arah perkara itu."
