PETALING JAYA: Sistem pemintas pesawat tanpa pemandu (C-UAS) atau antidron yang bakal diterima daripada Jepun akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik, termasuk Sepanggar dan Labuan.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata sistem yang dibekalkan menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi Jepun itu bertujuan memperkukuhkan keupayaan negara berdepan ancaman serangan dron.
"Seperti yang sering saya tegaskan, kita adalah negara maritim. Kita mempertahankan wilayah daratan, tetapi pada masa sama mesti melindungi keseluruhan domain maritim negara.
"Kita juga sedia maklum Laut China Selatan adalah kawasan bertindih tuntutan wilayah, terutama membabitkan China, Vietnam dan Filipina.
"Justeru, kita mesti memastikan keupayaan untuk mengekalkan kawalan ke atas domain maritim kita," katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-100 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur.
Jepun akan membekalkan sebuah sistem C-UAS bernilai 1.65 bilion yen atau kira-kira RM43 juta kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi program Bantuan Keselamatan Rasmi bagi tahun fiskal 2026, yang dimeterai Khaled bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi di Tokyo pada 20 Okt lalu.
Menurut Kementerian Luar Jepun, projek itu dijangka meningkatkan keupayaan keselamatan TLDM, termasuk dari segi pemantauan dan pengawasan, yang juga projek pertama negara itu membekalkan sistem C-UAS menerusi kerangka program berkenaan.
Khaled berkata, Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan erat dua hala sejak sekian lama, dengan kerjasama pertahanan semakin kukuh dalam beberapa tahun ini susulan perubahan dasar pertahanan Tokyo.
Beliau berharap program Bantuan Keselamatan Rasmi Jepun itu akan berterusan kerana ia banyak membantu Malaysia dalam membangunkan keupayaan pertahanan negara.
"Malaysia turut memohon bantuan pada masa depan memberi tumpuan kepada keutamaan strategik, termasuk meningkatkan keupayaan mempertahankan domain maritim di tengah-tengah cabaran geopolitik dan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
"Kesiapsiagaan pertahanan Malaysia bukan sahaja bergantung kepada aset tentera dan anggotanya, tetapi juga rakan kerjasama dipercayai yang bersedia membantu meningkatkan keupayaan negara."
Malaysia antara penerima awal program itu sejak 2023. Jepun menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik di laluan maritim penting antara Lautan Hindi dengan Asia Timur, selain berdepan Selat Melaka dan bahagian selatan Laut China Selatan.
