IPOH: Dua lelaki ditemukan lemas selepas mandi-manda di sungai berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melibatkan mangsa berumur 42 dan 50 tahun itu pada 2.55 petang.
"Setibanya di lokasi, anggota bomba perlu berjalan kaki menyusuri denai hutan sejauh 600 meter bagi menghampiri kedua-dua mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi sungai.
"Pasukan penyelamat kemudian membawa keluar kedua-dua mangsa dari seberang sungai sebelum kematian mereka disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
