PETALING JAYA: Polis merakam keterangan enam saksi dalam siasatan berhubung dakwaan kegagalan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Rusdi Isa, berkata pihaknya membuka kertas siasatan bagi kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan susulan laporan diterima, pada 7 Okt.
"Beberapa individu lain akan turut dipanggil untuk diambil keterangan. Dokumen berkaitan telah diterima dan sedang diteliti. Siasatan masih diteruskan," katanya dalam kenyataan.
Siasatan tersebut dibuat ekoran pendedahan MyEG dan Zetrix, yang bertindak sebagai ejen kutipan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mempunyai tunggakan hasil dikutip sebanyak RM314 juta.
Awal hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata ia akan bekerjasama dengan polis menyiasat tunggakan RM314 juta oleh MyEG dan Zetrix kepada JPJ.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata Zetrix telah diserahkan 35 notis untuk menjelaskan jumlah tunggakan tersebut.
Beliau juga berkata, Zetrix telah mengemukakan cek bernilai RM231 juta pada Ogos, namun pihak bank kemudiannya memaklumkan kepada JPJ bahawa cek itu tidak dapat diproses atas arahan syarikat berkenaan.
Justeru, JPJ bertindak menggantung MyEG dan Zetrix sebagai ejen kutipan fi dan saman jabatan berkenaan.
