SUNGAI PETANI: Sembilan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, dikenali sebagai 'Geng Suria'.
Mereka ialah Thayalan, 28; A Tana Balan, 30; Muhamad Rizwan Abd Jalil, 28; G Sritharan, 39; B Saranraj, 38; A Simon, 34; G Suria Prasad (ketua), 30; A Suresh, 52, dan Kavines, 31.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil secara berasingan di dua kamar berbeza di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan Najwa Che Mat, kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan itu di rumah tidak bernombor, Jalan Sekerat, Pekan Lama, antara Disember 2024 hingga April lalu, mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad Salim.
Peguam S Sagthiyaraj mewakili Saranraj dan Thayalan, peguam Naim Kamaruddin mewakili Sritharan, Simon dan Tana Balan manakala empat tertuduh lagi tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan bagi semua tertuduh dan menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan semula kes.
