MELBOURNE: Kedua-dua kaki Ahli Parlimen Australia, Helen Haines terpaksa dipotong selepas dilanggar sebuah kenderaan di luar pejabat kawasannya awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman.
Pemandu kenderaan itu telah dihadapkan ke mahkamah.
Doktor pada mulanya berharap dapat menyelamatkan kaki kanannya, namun pakar bedah akhirnya tidak dapat mengelak memotong kedua-dua kaki, kata suaminya, Phil, pada Rabu.
"Berita baik di sebalik semua ini ialah Helen masih hidup dan keadaannya stabil. Itu paling penting bagi keluarga kami," katanya kepada pemberita.
Ahli Parlimen bebas yang popular dan mewakili kawasan Indi di Parlimen Australia, dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di luar pejabatnya di Wangaratta, timur laut Melbourne, Isnin lalu.
Menurut pihak berkuasa, pemandu terbabit sengaja memandu kenderaannya ke arah wanita berusia 65 tahun itu.
Menteri Dalam Negeri, Tony Burke, berkata pemandu itu kemudian mengundurkan kenderaannya dan melanggar Haines sekali lagi.
Pemandu 43 tahun itu ditahan di tempat kejadian dan penyiasat merampas sebilah pisau daripadanya.
Haines yang cedera parah di bahagian bawah badannya diterbangkan ke sebuah hospital di Melbourne dan menjalani pembedahan kecemasan.
Perdana Menteri, Anthony Albanese, menegaskan: "Ini bukan kemalangan."
Pemandu itu dihadapkan ke mahkamah di Wangaratta pada Rabu atas beberapa pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan serius dengan sengaja serta mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam.
Dia juga berdepan pertuduhan berkaitan dadah.
Tertuduh tidak memohon jaminan dan kekal dalam tahanan. Sebutan kes dijadualkan pada Februari depan.
Penyiasat tidak menolak kemungkinan pertuduhan tambahan akan dikenakan dan motif kejadian belum jelas.
Keluarga pemandu itu memberitahu penyiar awam ABC, mereka berkawan dengan Haines lebih 20 tahun.
