PETALING JAYA: Dua badan bukan kerajaan (NGO) menggesa justifikasi dan kriteria lebih jelas bagi penutupan sekolah akibat jerebu, selain menyediakan sokongan untuk pihak sekolah, isi rumah serta perniagaan terjejas.
Engage dan Projek Sama berkata, walaupun penutupan sekolah, termasuk di Johor, dilakukan atas niat baik, analisis teliti kos-faedah perlu dilaksanakan terhadap langkah dasar, bukannya sekadar membuat "keputusan tegas, pantas serta performatif”.
"Penutupan sekolah mesti berpandukan data saintifik telus, bukan pengumuman ad hoc atau performatif.
"Pihak berkuasa perlu menerbitkan ambang indeks pencemaran udara (IPU), ramalan cuaca dan kriteria kesihatan lebih awal, serta memaklumkan keputusan pada waktu ditetapkan, sekiranya boleh," kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka berhujah, penutupan sekolah boleh menyebabkan ibu bapa kehilangan pendapatan, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau bergelut mencari penjaga anak; manakala majikan mungkin kehilangan tenaga kerja dan pengusaha kantin, bas sekolah serta pembekal makanan pula mengalami kerugian perniagaan.
"Bagi isi rumah yang sudah terbeban dari segi kewangan, kehilangan pendapatan walaupun untuk sehari tetap memberi kesan."
Merujuk arahan kerajaan Johor supaya sekolah dan institusi pendidikan ditutup selama 12 hari persekolahan sehingga 23 Okt ini, mereka berkata, anggaran konservatif menunjukkan kos akibat gangguan terhadap waktu bekerja ibu bapa saja mencecah kira-kira RM1 juta bagi setiap hari penutupan sekolah rendah di negeri itu.
"Ini belum lagi mengambil kira pelajar di sekolah menengah, swasta dan antarabangsa; Johor mempunyai 336,045 murid di sekolah rendah kerajaan.
"Dengan andaian murid itu datang daripada 168,022 isi rumah yang mempunyai dua anak, 5% daripada isi rumah ini mempunyai ibu atau bapa bekerja makan gaji dan terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak mereka, serta ibu bapa ini meraih gaji bulanan RM2,688 (RM122 sehari untuk 22 hari bekerja sebulan), maka kerugian produktiviti berjumlah RM1,026,449.
"Oleh itu, beban sebenar mungkin jauh lebih tinggi."
Dua NGO itu menggesa kerajaan membenarkan pekerja bergaji harian, bekerja sendiri dan ibu bapa berpendapatan rendah yang kehilangan pendapatan ketika menjaga anak sepanjang penutupan sekolah layak menerima bantuan kewangan sementara yang disalurkan melalui program kebajikan sedia ada.
"Perniagaan kecil yang bergantung kepada sekolah, termasuk pengusaha kantin, bas sekolah dan pembekal makanan wajar menerima bantuan kecemasan terhad apabila penutupan berpanjangan menyebabkan mereka kehilangan pendapatan seperti biasa.
"Majikan perlu digalakkan untuk menyediakan aturan kerja fleksibel dan cuti kecemasan untuk menjaga anak tanpa mengenakan penalti kepada kakitangan tiada pilihan lain."
Mereka turut menggesa pelitup muka N95 disediakan secara percuma kepada sekolah, keluarga B40 dan golongan rentan lain; baucar atau subsidi bagi pembelian penulen udara HEPA untuk isi rumah B40 yang mempunyai anak kecil, warga emas atau pesakit kronik; serta pemasangan penulen udara di dewan komuniti, perpustakaan dan kemudahan awam lain.
