PETALING JAYA: Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan ibadah umrah buat sementara waktu, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Katanya, nasihat itu susulan risiko keselamatan setelah insiden Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dibom pada Sabtu lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 terkorban, manakala 300 cedera.
"Di Makkah masih tidak ada (insiden). Cumanya ada misil yang telah meletup di Riyadh...jadi kita minta supaya rakyat Malaysia elok tangguhkan dahulu perjalanan kita ke sana (Makkah dan Madinah)," katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri kebarangkatan pulang Raja Jordan Raja Abdullah II di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Semalam, Kementerian Luar melaporkan tiada rakyat Malaysia terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi, pada Sabtu.
Dalam kenyataan, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi memaklumkan 12 terkorban, manakala 309 lagi cedera dalam insiden serangan itu.
Empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin, dan Sudan dilaporkan terbunuh.
