PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti penyelarasan penguatkuasaan terhadap kemasukan produk dan perniagaan entiti asing ke pasaran tempatan bagi memastikan persaingan yang adil serta melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Memperkasa Pembelian dan Penggunaan Produk Tempatan yang dipengerusikan beliau hari ini.
"Perkara ini akan diteliti oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan melalui kumpulan jawatankuasa kerja yang akan diwujudkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
"Kerajaan mengambil serius kebimbangan peniaga tempatan khususnya PMKS berhubung persaingan dalam pasaran yang semakin mencabar termasuk perkembangan pesat perdagangan digital dan kehadiran entiti e-dagang asing."
Beliau berkata, jawatankuasa itu turut memberi perhatian kepada keperluan memperkukuh penyelarasan dasar, meneliti kerangka perundangan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya dalam landskap perdagangan digital yang semakin berkembang.
Tambahnya, penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang turut diberi perhatian bagi menyokong ekosistem perdagangan digital yang lebih berkesan dengan mengambil kira kepentingan peniaga, PMKS dan pengguna serta perubahan landskap perdagangan semasa.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut meneliti terma rujukan dan keanggotaan Jawatankuasa Kabinet berkenaan bagi memperkukuh mekanisme penyelarasan antara kementerian dan agensi.
"Langkah ini penting untuk memastikan pelaksanaan inisiatif berkaitan produk tempatan dilaksanakan secara bersepadu, mengelakkan pertindihan usaha dan meningkatkan keberkesanan tindakan susulan," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, mesyuarat membincangkan penyeragaman penggunaan logo Jom Beli Produk Malaysia (Jom Malaysia) dalam program mempromosikan produk tempatan dan mengekalkan penggunaan logo khusus yang ditetapkan bagi program kementerian masing-masing.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dicadangkan menyelaras panduan penggunaan logo termasuk mekanisme pemantauan dan pelaporan bagi memperkukuh pelaksanaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membeli dan menggunakan produk tempatan," katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu selari dengan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 mengenai peruntukan RM10 juta bagi Jom Malaysia untuk membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran luar.
