PETALING JAYA: Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjadi antara cabaran kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka bulan depan.
Justeru, Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata, jentera BN perlu memperkukuh strategi bagi mendekati pengundi baharu ini, dan tidak bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata agar sokongan terhadap parti itu terus dipertahankan.

“Kalau dulu, kita boleh daftar pemilih, ambil nama-nama pemilih dan simpan dalam bakul kita. Kita boleh tahu, kalau bertanding di sini, kita boleh menang. Tetapi apabila pengundi baharu dibenarkan mengundi, bukan sahaja mereka berusia 18 tahun, malah mereka yang berusia 60 tahun tetapi tidak pernah mengundi juga boleh mengundi.
“Kita tidak tahu siapa mereka dan dari mana datangnya kerana secara automatik mereka menjadi pemilih … akhirnya kita tewas kerusi Parlimen Alor Gajah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, Alor Gajah, hari ini, lapor Bernama.
Ab Rauf yang juga pengerusi BN Melaka mengulas lanjut, walaupun parti menang bergaya pada PRN Melaka 2021, namun ia tidak dapat diterjemahkan ketika PRU15 apabila tewas di keenam-enam kerusi Parlimen ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 14 Nov, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal berlangsung pada 10 Nov.
Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.
