KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat pembangkang mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk mengecualikan golongan kaya, termasuk Ahli Parlimen, daripada menerima subsidi BUDI95.
Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, dana tersebut sebaik-baiknya digunakan untuk meningkatkan peruntukan bantuan kepada golongan M40 rentan yang menerima bantuan sangat terhad daripada kerajaan.
“Kerajaan menaikkan kelayakan BUDI95 kepada 300 liter. Rekod menunjukkan bahawa hanya sekitar 100,000 pengguna, atau kurang daripada 1% menggunakan sepenuhnya kelayakan tersebut,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
“Jadi, kita kena kaji semula dan masukkan bantuan itu terus ke akaun golongan M40 rentan yang memerlukan bantuan. Saya cadangkan supaya BUDI95 tidak perlu diberikan kepada golongan kaya, termasuk Ahli Parlimen.
Beliau menambah, golongan M40, khususnya mereka yang berpendapatan melepasi paras kelayakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sering berdepan kekangan kewangan.
“Golongan ini selalu disebut, tetapi kita tidak memahami keadaan mereka. Persoalannya, adakah ukuran pendapatan kasar M40 semata-mata masih memadai untuk menentukan siapa yang benar-benar layak terima bantuan?
"Tekanan yang dihadapi golongan M40 bukan hanya berkaitan pendapatan tetap, tetapi juga pendapatan boleh guna selepas mengambil kira komitmen kewangan … bukan semua golongan M40 hidup senang.
"Kita memerlukan ukuran yang lebih adil kerana terdapat golongan M40 rentan yang pendapatannya hanya melepasi paras kelayakan penerima STR. Oleh itu, bantuan perlu diperluas kepada mereka, antaranya melalui perlindungan kesihatan asas,” katanya.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) supaya bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak diberikan kepada golongan berpendapatan tinggi, sebaliknya dana tersebut diagihkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan.
Tambahnya, caj 1% yang dikenakan terhadap transaksi SARA yang disalurkan melalui sistem Yayasan MyKasih wajar diberikan terus kepada syarikat milik kerajaan bagi menambah peruntukan kerajaan untuk membantu rakyat.
