KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah melakukan sedaya upaya untuk menangani masalah jerebu yang melanda negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan Malaysia mengambil sikap 'terlalu lembut' ketika berurusan dengan Indonesia berhubung isu jerebu yang semakin memburuk.
“Kita sudah buat sedaya mungkin,” katanya ditemui selepas melancarkan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya di pekarangan Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya.
Semalam, Khairy menggesa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas dalam menangani isu berkenaan, namun mengakui Malaysia masih perlu menggunakan pendekatan diplomasi.
Dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, beliau turut membangkitkan pendekatan Malaysia dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.
Selasa lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Arthur Joseph Kurup berkata sebarang cadangan undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan perlu mengambil kira keberkesanannya, implikasi diplomatik, beban pembuktian serta kebolehkuatkuasaannya.
Menurutnya, usaha menangani jerebu rentas sempadan semakin mencabar berikutan beberapa faktor, termasuk kebolehubahan iklim, tempoh kemarau yang panjang dan amalan pertanian.
Dalam perkembangan lain, Anwar mahu Projek Residensi Siswa Universiti Malaya disiapkan secepat mungkin sebelum 2030.
Katanya, beliau akan memantau sendiri pelaksanaan projek itu dan membangkitkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Saya mahu projek ini dianggap sebagai projek bersama yang mesti dijayakan dalam tempoh yang pantas.
“Saya akan memantau pelaksanaannya secara peribadi supaya projek ini menjadi contoh yang baik. Kita mahu penggunaan tanah milik universiti dapat dipermudahkan, proses pelaksanaan dipercepatkan dan peruntukan digunakan dengan berkesan melalui kerjasama syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
