PETALING JAYA: VFive Group Sdn. Bhd. (VFive Group) terus memperkukuh reputasi dalam landskap perniagaan negara apabila dinobatkan sebagai antara 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia menerusi Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026.
Pengarah Urusan VFive Group, Syafiq Abdullah, berkata kejayaan itu juga mengiktiraf prestasi perniagaan, keupayaan pengurusan dan daya saing syarikat.
Katanya, Anugerah E50 2026 turut mencerminkan komitmen dan usaha berterusan seluruh warga kerja dalam membangunkan sebuah organisasi yang berdaya saing serta mempunyai asas perniagaan yang kukuh.
“Sepanjang 14 tahun perjalanan VFive Group, kami melalui pelbagai fasa perkembangan dan cabaran yang membentuk keupayaan syarikat sehingga ke tahap hari ini.
"Daripada sebuah syarikat kecil, kami terus membina kepakaran, memperluas bidang perniagaan dan meningkatkan keupayaan organisasi untuk bersaing dalam persekitaran industri yang semakin mencabar," katanya.
Syafiq berkata pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian korporat, tetapi juga penghargaan terhadap komitmen seluruh warga kerja yang telah menyumbang kepada perkembangan VFive Group selama ini.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim pada Majlis Anugerah E50 2026 yang berlangsung di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre malam tadi.
Diperkenalkan sejak 1997, Anugerah E50 merupakan antara platform berprestij di Malaysia yang mengiktiraf kecemerlangan syarikat tempatan berprestasi tinggi, berdaya saing dan berpotensi untuk terus berkembang.
Pemilihan penerima anugerah dibuat menerusi proses penilaian menyeluruh yang merangkumi kedudukan kewangan, pertumbuhan hasil, penerapan pendigitalan dan e-dagang, amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta pendekatan proaktif dalam pembangunan perniagaan.
Program ini dianjurkan oleh SME Corp iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
