PETALING JAYA: Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, mempersoalkan masa tindakan kerajaan melarang penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam, mengatakan hubungan aplikasi navigasi itu dengan Israel telah diketahui sejak bertahun-tahun lalu.
Shahril mengambil maklum kebimbangan mengenai keselamatan negara, namun beliau menyoal mengapa isu berkaitan Waze hanya dibangkitkan sekarang, dan sama ada kerajaan mempunyai strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada teknologi asing.
"Kalau dah tahu, dan benda ini dah lama -- Waze ini diperbadankan di Israel dan kekal di Israel dah bertahun-tahun, bukannya baru 2-3 bulan ini kita dapat tahu perkara ini -- kenapa benda ini sekarang menjadi isu?" soalnya dalam epsiod terbaru audio siar 'Keluar Sekejap'.
Shahril berkata kerajaan perlu menunjukkan keseriusan tentang kedaulatan data, keselamatan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing, dan tidak mensensasikan isu ini.
"Kalau lah kerajaan serius tentang kedaulatan data, keselamatan data, tak nak bergantung harap kepada teknologi asing, bagi saya kalau itu prinsipnya -- dan saya sokong prinsip itu -- kenalah buat benda yang serius untuk bertahun-tahun akan datang."
"Bagi saya ada unsur performatif dalam isu ini," katanya.
Shahril turut menyentuh tentang mempromosi aplikasi navigasi tempatan, TuJu, sebagai alternatif kepada Waze, mengatakan ia masih belum bersedia untuk bersaing dengan platform sedia ada yang lebih terkemuka.
Beliau juga mengingatkan agar tidak mengecilkan kontroversi ini sekadar perdebatan mengenai sokongan kepada Israel atau Palestin.
"Isu ini sekarang akan menjadi isu 'siapa yang tolak rejim Israel' dan 'siapa yang tak sokong kenyataan PMX maka anda sebenarnya tak menyokong Palestin'. Sebenarnya isunya lebih serius dan lebih mendalam, yang memerlukan keikhlasan daripada pihak kerajaan untuk buat suatu rancangan," katanya.
Rakan pengacara, Zaidel Baharuddin, mempertahankan usaha mempromosi teknologi navigasi tempatan, mengatakan bahawa Malaysia tidak patut menghentikan usaha membangunkan TuJu hanya disebabkan kelemahan awal.
Beliau mengambil maklum akan kelemahan teknikal aplikasi tersebut, namun mengingatkan bahawa Waze dan Google Maps pun lebih berkesan apabila jumlah pengguna berkembang, sekaligus membolehkan mereka menyediakan data trafik masa nyata yang lebih tepat.
Zaidel berkata pembangunan teknologi geospasial tempatan amat penting untuk keselamatan negara, terutama bagi tentera dan polis.
"Kalau tanya saya lah, secara pribadi, terutama dalam kedaulatan teknologi sepatutnya dalam tugasan rasmi angkatan tentera dengan polis tak boleh gunakan geospatial teknologi yang bukan Malaysia sebab sangat sensitif," katanya.
Zaidel menegaskan kelemahan TuJu sepatutnya ditangani tanpa mengabaikan matlamat lebih besar untuk memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia.
