KUALA LUMPUR: Seorang saksi pihak pendakwaan, yang membuat laporan polis terhadap filem kontroversi 'Mentega Terbang' pada 2023, memberi keterangan di mahkamah majistret bahawa filem itu tidak menyebabkan beliau mempertikaikan akidahnya sebagai seorang Islam.
Yamna Ismail berkata beliau sudah pun mempelajari tentang penjelmaan semula (reinkarnasi) daripada sumber lain, termasuk bahan bacaan, filem dan anime, sebelum menonton 'Mentega Terbang'.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan silang oleh peguam bela, Zaid Malek.
Zaid: Walaupun filem ini menyebut tentang penjelmaan semula, anda tetap seorang Muslim?
Yamna: Betul.
Zaid: Jadi, filem ini tidak menyebabkan anda terpesong (akidah)?
Yamna: Tidak.
Suri rumah berusia 39 tahun itu memberi keterangan pada hari keempat perbicaraan membabitkan pengarah filem berkenaan, Khairi Anwar Jailani, dan penerbit iaitu Tan Meng Kheng.
Apabila ditanya sama ada orang lain dalam masyarakat majmuk di negara ini juga boleh mempelajari tentang penjelmaan semula daripada sumber lain seperti beliau, Yamna berkata: "Saya hanya boleh bercakap bagi pihak saya sendiri. Saya tidak pasti tentang orang lain."
Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Zaid bahawa filem itu tidak boleh menyesatkan umat Islam semata-mata kerana ia membincangkan tentang penjelmaan semula.
Yamna sebelum ini memberi keterangan bahawa filem itu menyinggung perasaan beliau sebagai seorang Islam, dengan memetik beberapa adegan yang menyentuh soal akidah, penjelmaan semula, prasangka, dwistandard terhadap Islam dan perbandingan agama.
Semasa prosiding hari ini, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Zaid bahawa beliau membuat laporan polis untuk mempertahankan Islam dan bukan kerana tersinggung dengan filem tersebut.
Bagaimanapun, apabila Zaid merujuk kepada laporan polisnya, beliau mengubah jawapannya dan bersetuju dengan cadangan Zaid sebelum itu.
Beliau juga mengaku tidak menggunakan perkataan 'tersinggung' di dalam laporan itu.
Zaid turut mempersoalkan dakwaannya dalam pernyataan saksi bahawa beliau telah menonton keseluruhan filem itu pada 26 Februari 2023.
Apabila ditanya platform yang digunakan untuk menontonnya, Yamna berkata beliau menontonnya di YouTube menggunakan telefon bimbit.
Zaid: Saya mencadangkan kepada anda bahawa filem itu tidak tersedia di YouTube pada tarikh tersebut.
Yamna: Saya setuju.
Beliau tidak menjawab apabila ditanya sama ada beliau telah memberikan keterangan palsu dalam pernyataan saksi.
Khairi, 34, yang juga penulis skrip, dan Tan, 39, dituduh pada 17 Jan 2024 mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain.
Filem tersebut ditayangkan pada 28 Nov 2021 sebelum Kementerian Dalam Negeri mengharamkannya pada 1 Sept 2023.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling and Nadia Izhar hadir bagi pihak pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Heng Yi Min bersambung pada 25 Januari tahun depan.
