Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kertas Kabinet bersama MOT dan MIROS berhubung keselamatan jalan raya akan dibentangkan tidak lama lagi.
KUALA LUMPUR: Satu kertas Kabinet bersama antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung pendekatan keselamatan jalan raya nasional akan dibentangkan dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kertas itu penting untuk dibentangkan di Kabinet bagi membincangkan pendekatan menyeluruh kerajaan.
“Melalui pendekatan itu, apa yang diputuskan dalam resolusi kongres pada hari ini dapat dilaksanakan di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026, di sini hari ini.
Beliau juga yakin proses penyediaan kertas berkenaan tidak akan mengambil masa yang lama.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya mahu MOT dan MIROS menyediakan kertas Kabinet itu bagi mengusulkan pendekatan diselaraskan untuk memperluas langkah keselamatan berkaitan motosikal.
Beliau berkata kertas itu perlu didatangkan dengan penetapan keutamaan yang jelas, garis masa, serta hasil yang boleh diukur memandangkan penunggang motosikal menyumbang peratusan korban tertinggi di Malaysia.
Berdasarkan statistik tahun lepas, hampir dua pertiga daripada 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Menyedari hakikat itu, Ahmad Zahid menegaskan usaha menyediakan laluan motosikal dan infrastruktur jalan yang lebih selamat amat diperlukan tanpa hanya menuding jari terhadap tingkah laku penunggang semata-mata.
“Kita sering menyalahkan penunggang motosikal dan tingkah laku mereka. Walaupun tanggungjawab individu memainkan peranan penting, namun keselamatan jalan raya perlu melibatkan semua pihak. Bagi kebanyakan orang motosikal bukan sekadar pilihan gaya hidup, sebaliknya ia keperluan untuk mencari rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegur agensi berkaitan agar tidak lagi bekerja secara bersendirian (in silo) serta perlu menyepadukan data ke dalam satu platform risikan keselamatan jalan raya nasional.
Beliau berkata pengintegrasian data melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membawa perubahan sebenar ke arah mobiliti yang lebih pintar dan selamat.
RSC 2026 dianjurkan oleh MIROS bersekali dengan pameran Ekspo Pengangkutan Asia 2026 dan Conference on Asia Road Safety (CARS 2026) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Bertemakan “Safer & Smarter Mobility: Advancing Road Safety Towards Vision Zero”, kongres dua hari itu menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik dan pemimpin industri bagi meneroka dasar, teknologi pintar serta penyelesaian bersepadu bagi mencegah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.
