PETALING JAYA: Seorang guru yang cedera dipercayai akibat diserang seorang pelajar di sebuah sekolah swasta di Kuching, Sarawak telah dibenarkan keluar hospital.
Tunku Putra-HELP School memuji guru terbabit dan para pelajar atas tindakan pantas terhadap remaja yang didakwa melakukan serangan itu.
"TPH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru kami yang terlibat dalam insiden itu atas keberanian dan ketenangannya, serta kepada para pelajar yang bertindak pantas untuk membantu guru dan rakan sekelas," menurut kenyataan.
Pihak sekolah memaklumkan bahawa mereka menyediakan khidmat kaunseling kepada beberapa pelajar susulan kejadian tersebut.
Di samping itu, pihak sekolah dan lembaga pengelola akan terus mengkaji semula protokol keselamatan bagi memperkukuhkan keselamatan di kawasan kampus, bersama pihak berkuasa.
"Keutamaan segera kami adalah untuk memberikan penjagaan dan sokongan yang perlu kepada para pelajar dan kakitangan yang terjejas secara langsung dalam kejadian itu.
"Langkah keselamatan yang dipertingkatkan, termasuk kehadiran tiga pegawai polis bantuan di kawasan sekolah serta pemeriksaan keselamatan yang wajar semasa masuk akan terus dikuatkuasakan hingga akhir sesi persekolahan," menurut kenyataan.
Pihak sekolah turut menggesa orang ramai agar berhenti menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan gambar yang melibatkan para pelajar, serta menghormati privasi keluarga yang terjejas.
Terdahulu hari ini, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata polis merakam percakapan 24 individu dalam siasatan ke atas kejadian tersebut.
Saifullizan berkata suspek masih menerima rawatan di hospital, dan polis meneruskan siasatan dengan mengambil kira keadaan kesihatan serta tertakluk nasihat pegawai perubatan.
Pelajar berusia 16 tahun itu ditahan polis susulan kejadian pada Rabu.
