PUTRAJAYA: Semua sekolah di Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan ditutup esok susulan jerebu melanda negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata penutupan itu turut melibatkan sekolah di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Sabah, dan Sarawak.
Di Selangor, sekolah terlibat ialah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Sepang, manakala di Pahang melibatkan PPD Kuantan, Pekan, dan Rompin.
Di Sabah, penutupan membabitkan sekolah di bawah PPD Tawau, sementara di Sarawak melibatkan PPD Serian, Sri Aman, dan Lubok Antu.
"Sekolah di semua negeri dan daerah lain akan beroperasi seperti biasa.
"Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan dilaksanakan, manakala guru serta anggota kumpulan pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR)," katanya di Facebook.
Sebanyak 22 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan indeks pencemar udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 3 petang ini.
