KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merekodkan 5,333 ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) liputan telekomunikasi melibatkan 2,697 lokasi di seluruh negara dari 1 Jan hingga 30 Sept lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi piawaian kualiti ditetapkan, termasuk mengambil tindakan undang-undang jika gagal memenuhi obligasi.
"SKMM menjalankan audit rangkaian bagi mengenal pasti kawasan titik buta (blind spot) atau liputan lemah serta menentukan langkah penambahbaikan bersesuaian berdasarkan keperluan teknikal dan keadaan setempat, termasuk pembinaan menara baharu, perkongsian tapak sedia ada, menaik taraf stesen pemancar, penambahan kapasiti dan pengoptimuman rangkaian."
Beliau menjawab isu liputan telekomunikasi dan titik buta yang dibangkitkan Richard Rapu (GPS-Betong) pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat.
Di kawasan Parlimen Betong, Teo memaklumkan SKMM menjalankan 21 ujian audit rangkaian dan mengeluarkan 17 notis pematuhan kepada penyedia perkhidmatan yang didapati tidak memenuhi standard ditetapkan.
Menjawab soalan Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai keperluan penambahbaikan capaian internet di Hulu Selangor, Teo berkata, SKMM turut mengeluarkan notis pematuhan di bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada penyedia perkhidmatan.
Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan di Perumahan Mawar Gardens, Prima Beruntung pada 8 Julai lalu yang mendapati kualiti capaian internet tidak memuaskan.
Jelasnya, kerja pengoptimuman rangkaian telah diselesaikan dan ujian semula mengesahkan pematuhan terhadap piawaian MSQoS, serta pembinaan tapak menara baharu turut dirancang sebagai penambahbaikan seterusnya tertakluk kepada penilaian teknikal dan perancangan pemberi perkhidmatan.
Mengenai aduan liputan di Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor, Teo memaklumkan audit kualiti pada 16 Mei tahun lalu mendapati enam ketidakpatuhan piawaian dan sebuah menara telekomunikasi baharu kini dalam pelaksanaan yang dijangka siap pada 19 Julai 2027.
