KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Badan Peguam untuk menghentikan sementara penghantaran pulang kira-kira 5,000 pelarian dan pencari suaka warga Myanmar, memutuskan bahawa penangguhan tidak boleh dibenarkan sebelum kebenaran bagi semakan kehakiman diberikan.
Hakim Norliza Othman berkata penolakan ini tidak menjejaskan hak Badan Peguam untuk memperbaharui permohonan, selepas mahkamah memutuskan sama ada mahu memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman atau sebaliknya.
Permohonan kebenaran itu ditetapkan untuk pendengaran pada 8 Disember.
Badan Peguam memohon kebenaran untuk mencabar rancangan kerajaan bagi menghantar pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar, termasuk etnik Rohingya dan kanak-kanak yang diiktiraf oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian atau pencari suaka.
Badan itu berhujah bahawa kepulangan mereka ke Myanmar boleh mendedahkan mereka kepada penganiayaan, diskriminasi dan bahaya lain, serta penghantaran pulang itu boleh menyebabkan semakan kehakiman menjadi tidak bermakna kerana kesannya berkemungkinan tidak boleh diubah lagi.
Badan Peguam turut berhujah bahawa Malaysia terikat dengan prinsip undang-undang antarabangsa lazim mengenai 'non-refoulement', yang melarang mengembalikan seseorang ke negara di mana mereka berdepan penganiayaan.
Ia seterusnya berhujah bahawa penghantaran pulang kanak-kanak adalah tidak selaras dengan prinsip mengutamakan kepentingan terbaik mereka.
Peguam, M Ramachelvam, yang mewakili Badan Peguam, berhujah bahawa imbangan 'balance of convenience' berpihak kepada penangguhan.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan, yang bertindak bagi pihak peguam negara, berhujah bahawa permohonan itu adalah pramatang, merujuk keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini bahawa penangguhan hanya boleh dipertimbangkan selepas kebenaran untuk semakan kehakiman diberikan.
Collin Arvind Andrew, Moganasundari Mahalingam, Ameerul Radzi Azlan dan Shahlini Sree Kumar turut hadir bagi pihak Badan Peguam.
Marcus Lee dan Samantha Koh hadir bagi pihak Suhakam sebagai amicus curiae, atau sahabat mahkamah.
