PUTRAJAYA: Pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah akan menerima bantuan khas RM1,000 secara sekali bayar mulai Rabu ini, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Beliau berkata, bantuan akan disalurkan secara berperingkat, bermula dengan kumpulan pertama yang dijemput ke Kementerian Pengangkutan pada Rabu untuk menerima baucar.
Katanya, kerajaan mahu memastikan bantuan itu diterima pemandu beragama Hindu sebelum sambutan Deepavali.
“Bantuan ini dapat diberikan sebelum Belanjawan 2027 diluluskan kerana hasilnya sudah masuk untuk tahun ini,” katanya pada sidang media di kementerian.
Loke berkata, dana itu diperoleh daripada RM91 juta hasil penjualan siri nombor pendaftaran khas kenderaan ‘H’.
Jumaat lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan untuk 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata kerajaan memperuntukkan RM3.4 bilion bagi pembelian tren baharu dan penyelenggaraan untuk menambah baik perkhidmatan Prasarana, khususnya laluan LRT Kelana Jaya dan sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, kerajaan memahami keresahan pengguna susulan kerosakan tren dan gangguan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Loke berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa disasarkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen pertama tahun depan.
Katanya, kelulusan dasar bagi cadangan itu sudah diperoleh daripada Jemaah Menteri beberapa bulan lalu, manakala Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kertas dasar dan rang undang-undang (RUU) berkenaan.
“Ini akan mengambil sedikit masa untuk dibentangkan ke Parlimen kerana ia melibatkan banyak pertimbangan teknikal. Kita akan berusaha dalam beberapa bulan ini untuk membawa RUU tersebut ke Parlimen,” katanya.
