PETALING JAYA: Universiti perlu memperluas kursus jangka pendek penjagaan warga emas bagi melahirkan lebih ramai penjaga terlatih menjelang Malaysia menjadi negara tua pada 2048, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Mohammad Shatar Sabran.
Beliau berkata, kursus yang disahkan dari segi kualiti itu boleh membantu anak-anak menjaga ibu bapa, selain membuka peluang kepada peserta menawarkan khidmat penjagaan secara sambilan.
“Saya di MQA apa yang telah saya pesan kepada semua universiti adalah menawarkan kursus jangka pendek untuk penjagaan warga tua dan kursus-kursus ini mempunyai verifikasi kualiti,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, peserta yang menamatkan kursus dan memperoleh sijil boleh diberikan kepercayaan untuk menjaga warga emas, sekali gus membantu keluarga yang memerlukan khidmat berkenaan.

Shatar yang juga pakar sosial berkata, model penjagaan mengikut jam seperti yang ditawarkan bagi kanak-kanak juga boleh diterapkan untuk warga emas, mengikut keperluan keluarga.
Katanya, beberapa universiti sudah menawarkan kursus sedemikian, namun pelaksanaannya masih belum meluas dan perlu diperluas bagi memenuhi permintaan.
Pada 5 Okt lalu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir berkata, Malaysia hanya mempunyai tempoh kira-kira 27 tahun untuk membuat persiapan menyeluruh bagi menghadapi status negara tua menjelang 2048, iaitu fasa peralihan jauh lebih pantas berbanding beberapa negara maju.
Katanya, tempoh singkat itu memberi ruang masa terhad kepada kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara berbanding Perancis yang mengambil 115 tahun, Australia (73 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun).
Sementara itu, mengulas cadangan NGO Pusat Sumber untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach) supaya kerajaan memberi pelepasan cukai pendapatan kepada anak menanggung bayaran sewa atau ansuran pinjaman perumahan ibu bapa bagi meringankan beban kewangan mereka, Shatar berkata insentif tersebut boleh menggalakkan anak mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan golongan terbabit, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengurangkan risiko pengabaian warga emas termasuk kes kematian senyap.
“Kalau hubungan baik dan anak sentiasa mengambil tanggungjawab, mereka akan sentiasa memantau ibu bapa. Sekurang-kurangnya, risiko kes seperti kematian senyap dapat dikurangkan walaupun kita mungkin tidak dapat menghapuskannya secara keseluruhan,” katanya.
Pada 14 Okt lalu, Ketua Penyelaras Reach, Iskandar Samad, berkata cadangan itu selaras usaha kerajaan memperkukuh kebajikan warga emas susulan pengumuman Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ketika membentangkan belanjawan itu pada 9 Okt lalu mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion bagi bantuan warga emas yang dijangka memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
Bagaimanapun, Shatar menegaskan penjagaan warga emas tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama keluarga, NGO dan masyarakat.
Katanya, kegagalan menyediakan penjagaan sewajarnya juga boleh meningkatkan beban kewangan kerajaan, termasuk kos berkaitan pengurusan kes kematian senyap dan penjagaan di pusat jagaan.
