PETALING JAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mencapai formula 'menang-menang' dalam rundingan sesama komponennya menjelang PRU16 bagi memastikan perbezaan berbangkit tidak melemahkan suara Sabah di peringkat persekutuan, kata penganalisis.
Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata rundingan itu penting supaya setiap parti mempunyai ruang mencapai kepentingan masing-masing tanpa menjejaskan kesepaduan keseluruhan gabungan.

"Mengekalkan kesatuan dan kesepaduan ini penting bagi memastikan suara dibawa adalah satu, bukan dilihat berpecah dan pincang.
"Ini penting dalam memastikan kesatuan utuh terutama dalam proses tawar menawar dengan kerajaan persekutuan supaya konflik kepimpinan tidak menjadi bahan melambatkan rundingan sedang dibuat," katanya kepada FMT.
Arvin mengulas seruan Pengerusi GRS Hajiji Noor pada konvensyen gabungan itu, minggu lalu supaya parti komponen kekal bersatu dan mengutamakan kepentingan Sabah.
Ketua menteri menegaskan kekuatan negeri dalam rundingan di peringkat persekutuan perlu bermula daripada kesepaduan dalaman GRS.
Hajiji turut mengingatkan tiada parti terlalu besar sehingga tidak memerlukan rakan atau terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh diketepikan.
Seruan Hajiji itu dibuat ketika GRS menyasarkan menambah jumlah Ahli Parlimennya pada PRU16.
Setiausaha Agung Armizan Mohd Ali, berkata GRS berpotensi menang lebih 15 kerusi Parlimen berdasarkan simulasi keputusan PRN lalu.
GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen susulan kemasukan Upko dalam gabungan itu.
Syahruddin Awang Ahmad pula berkata, seruan Hajiji realistik kerana sentimen sebagai 'parti tempatan' sahaja tidak cukup mempertahankan sesebuah gabungan sekiranya perbezaan kepentingan dan pergeseran dalaman terus berlaku.

Menurut ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, GRS perlu mengutamakan kestabilan serta penyelesaian masalah rakyat kerana keyakinan pengundi dan kekuatan Sabah di peringkat persekutuan bergantung kepada kredibiliti serta rekod pentadbiran.
“Jika isu dalaman parti dalam gabungan terus dibiarkan berlarutan sehingga menjadi lebih rumit dan tidak diselesaikan segera, ia boleh melemahkan gabungan itu,” katanya.
