PETALING JAYA: Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya ditutup esok susulan keadaan jerebu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata penutupan turut melibatkan sekolah di beberapa kawasan di Selangor dan Pahang, iaitu Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin.
Bagaimanapun, sekolah di Kuala Lumpur, Labuan, Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta kawasan lain di Selangor dan Pahang akan beroperasi seperti biasa.
“Pihak sekolah diminta memastikan aktiviti luar dipantau berdasarkan tahap kualiti udara.
“Ibu bapa, murid dan guru juga dinasihatkan memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar, terutama di kawasan terjejas akibat jerebu,” katanya di Facebook.
Fadhlina turut mengingatkan orang ramai supaya merujuk pengumuman rasmi pihak sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi sekolah.
