PETALING JAYA: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu siasatan polis mendapati tiada saksi melihat Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025.
Pegawai penyiasat, Wong Yew Zhung, berkata tiada individu termasuk pengawal keselamatan atau warden asrama meronda tingkat tiga blok asrama didiami Zara pada malam kejadian.
Jelasnya, hasil pemerhatiannya juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan asrama yang boleh membekalkan rakaman berhubung kejadian itu.
Menurutnya, keterangan saksi dalam kalangan pelajar menunjukkan Zara kali terakhir dilihat sekumpulan pelajar kira-kira 10 malam 15 Julai 2025, selepas dia dipanggil beberapa pelajar Tingkatan Empat berhubung dakwaan kes kecurian.
"Kemudian pada malam sama, antara 10.15 hingga 10.30 malam, beberapa saksi pelajar dari dorm A-3-5 menyatakan mereka melihat Zara masuk ke dorm dalam keadaan menangis sebelum baring di atas lantai," katanya ketika membacakan kenyataan bertulisnya di depan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara.
Beliau berkata, kira-kira 12 tengah malam 16 Julai, empat pelajar Tingkatan Satu di dorm A-3-5 memberitahu mereka menolak permintaan Zara untuk meminjam gunting.
Katanya, antara 12.10 hingga 12.30 tengah malam, tiga pelajar Tingkatan Satu memaklumkan mereka melihat Zara memanjat dinding penghadang tandas di tingkat tiga sambil memandang ke arah mereka.
"Kira-kira 2.35 pagi, seorang pelajar yang bangun awal untuk mandi, pergi ke tandas tingkat tiga dan mendapati pintu kubikel pertama bertutup."
Wong berkata, apabila saksi cuba membuka pintu itu, individu yang dilihat berbaju sukan tertera perkataan 'Hanafi' menolak pintu berkenaan dari dalam.
Menurutnya, saksi tidak dapat melihat muka individu terbabit, tetapi baju itu serupa baju dipakai Zara ketika ditemui tidak sedarkan diri.
Sementara itu, Wong berkata, beliau dengan bantuan pegawai polis dari IPK Sabah, IPD Papar dan Sipitang merakam percakapan 200 individu bagi melengkapkan siasatan laporan mati mengejut Zara.
Jelasnya, mereka terdiri daripada ahli keluarga Zara, jiran, rakan sekolah rendah dan menengah, guru, pegawai perubatan dan polis serta pelajar asrama blok Rabiatul Adawiyah.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokannya.
Prosiding inkues bermula 3 Sept 2025 bagi menentukan punca dan keadaan di sebalik kematian Zara, termasuk sama ada wujud sebarang unsur jenayah.
