KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu Fashion Valet Sdn Bhd menerima hampir RM40 juta pelaburan daripada Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada 2018.
Pengurus Public Bank Tay Lay Hong, 54, memberi keterangan bahawa Fashion Valet menerima RM7.848 juta dan RM11.742 juta daripada Khazanah, masing-masing pada 23 dan 26 Mac.
Menurut Tay, syarikat itu turut menerima RM11.9535 juta daripada PNB pada 4 Jun dan RM8.364 juta lagi pada 20 Dis tahun sama.
Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah RM8 juta membabitkan pengasas Fashion Valet Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar, Tay berkata RM11 juta dikeluarkan daripada akaun Fashion Valet kepada penerima yang tidak dinyatakan pada 21 Ogos tahun itu.
“Saya mengesahkan transaksi pengeluaran dana ini dibuat secara pembayaran pukal melalui perbankan dalam talian,” katanya dalam pernyataan saksi.
Tay berkata RM5 juta dikreditkan ke akaun Public Bank milik Vivy pada 3 Sept dengan rujukan transaksi “CIMB Rentas”.
Sejumlah RM5 juta lagi dikreditkan ke akaun Fadzarudin pada keesokannya dengan catatan “dividen interim”.
Berdasarkan rekod bank, kedua-dua transaksi itu datang daripada 30 Maple Sdn Bhd.
Tay berkata pada 5 Sept, Vivy dan Fadzarudin masing-masing mengeluarkan RM5.5 juta daripada akaun Public Bank mereka di kaunter.
Ketika pemeriksaan balas, peguam bela M Athimulan mencadangkan adalah perkara biasa bagi peruncit besar seperti Fashion Valet menggunakan pembayaran pukal untuk memenuhi komitmen kewangan termasuk membayar gaji, bil pembekal dan sewa premis.
Tay bersetuju.
Athimulan: Ini bermakna transaksi RM11 juta yang dinyatakan sebagai pembayaran pukal tidak bermaksud wang itu dipindahkan ke satu akaun peribadi tertentu?
Tay: Saya setuju.
Athimulan: Anda juga tidak menemui sebarang pemindahan wang secara penipuan dalam pembayaran pukal itu kepada syarikat cangkerang atau akaun peribadi yang tidak wujud?
Tay: Saya setuju.
Vivy dan Fadzarudin, kedua-duanya berusia 38 tahun, didakwa bersama pada 5 Dis 2024 atas pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana pelaburan Khazanah dan PNB ketika mereka menjadi pengarah Fashion Valet.
Mereka dituduh membenarkan pembayaran RM8 juta daripada akaun bank korporat Fashion Valet kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan lembaga pengarah pada 21 Ogos 2018 di cawangan Public Bank Bukit Damansara.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Vivy dan Fadzarudin turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu dengan curang menyalahgunakan RM8 juta dana pelaburan Khazanah dan PNB milik Fashion Valet di lokasi dan pada tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 3 Nov.
