KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gesa rakyat memboikot syarikat terbabit pembakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan, dengan menggunakan kuasa membeli seperti pendekatan Dr Mahathir Mohamad ketika berdepan pertikaian dengan United Kingdom.
Ahli Parlimen Muar berkata, rakyat tidak seharusnya hanya mengharapkan kerajaan bertindak, sebaliknya perlu memberi tekanan kewangan kepada syarikat terbabit.
“Kita mempunyai kuasa dan kuasa membeli yang akhirnya boleh membuatkan syarikat-syarikat Indonesia berasa bimbang,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau turut menggesa Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik tegas kepada Indonesia serta mendapatkan sokongan negara Asean lain khususnya Singapura.
Katanya, kedua-dua negara juga boleh menggunakan pengaruh institusi kewangan masing-masing untuk menyekat pembiayaan kepada syarikat yang didapati terbabit pembakaran hutan.
Menurutnya, jerebu bukan sahaja menjejaskan pelancongan dan kesihatan awam, malah mengganggu pendidikan apabila sekolah terpaksa ditutup.
“Murid daripada keluarga berpendapatan rendah paling terkesan kerana tidak semua mempunyai komputer, tablet atau akses internet yang baik untuk mengikuti pembelajaran dalam talian,” katanya.
Syed Saddiq turut mencadangkan Malaysia mempertimbangkan undang-undang seumpama Akta Jerebu Rentas Sempadan Singapura bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat menyebabkan pencemaran merentasi sempadan.
Beliau berkata, tindakan tegas juga perlu diambil terhadap syarikat Malaysia yang didapati bersubahat.
