PETALING JAYA: Malaysia perlu memperketat pemantauan pelepasan emisi kapal di pelabuhan utama, terutama ketika jerebu, bagi memastikan usaha mengembangkan sektor maritim tidak menambah tekanan terhadap kualiti udara dan kesihatan masyarakat.
Pemain industri R Jeyenderan dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu Nazery Khalid berpandangan pertumbuhan aktiviti perkapalan perlu diseimbangkan dengan pematuhan alam sekitar serta perlindungan pekerja dan penduduk berhampiran pelabuhan.

Jeyenderan berkata kedudukan Malaysia di sepanjang Selat Melaka membuka peluang besar untuk menarik lebih banyak kapal mendapatkan bekalan bahan api marin, tetapi peningkatan trafik kapal turut menuntut pemantauan lebih teliti terhadap pelepasan emisi.
“Seiring dengan peningkatan jumlah kapal yang melalui perairan kita, kita perlu memastikan pelepasan emisi kapal dipantau dengan sewajarnya dan pelabuhan kita dibangunkan secara mampan.
“Kesan aktiviti perkapalan terhadap alam sekitar wajar diberi perhatian lebih dekat, khususnya ketika Malaysia berdepan jerebu rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pihak berkuasa wajar meningkatkan pemantauan kualiti udara di sekitar pelabuhan utama, memeriksa pematuhan terhadap had sulfur bahan api marin serta mengkaji tahap pencemaran ketika jerebu.
Katanya, data yang tepat penting bagi membezakan kesan jerebu rentas sempadan dengan pencemaran daripada sumber tempatan, termasuk aktiviti perkapalan, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar lebih berkesan.
Pembakaran bahan api marin tertentu, termasuk minyak bahan api sulfur tinggi, boleh menghasilkan oksida sulfur dan zarah halus bergantung pada jenis bahan api, keadaan operasi enjin serta sistem kawalan pelepasan digunakan.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menetapkan had sulfur global 0.50% bagi bahan api kapal di luar kawasan kawalan pelepasan sejak 1 Jan 2020. Kapal yang menggunakan bahan api dengan kandungan sulfur lebih tinggi perlu mematuhi syarat berkaitan, termasuk menggunakan sistem pembersihan gas ekzos yang diluluskan.

Nazery pula berkata usaha menarik lebih banyak kapal dan memperluas perdagangan laut tidak seharusnya mengorbankan perlindungan alam sekitar atau komitmen antarabangsa Malaysia berkaitan perubahan iklim.
Menurutnya, sebagai negara maritim dan anggota Majlis IMO, Malaysia perlu memastikan operasi perkapalan di perairannya mematuhi undang-undang tempatan serta piawaian antarabangsa.
“Dengan memastikan pelepasan emisi daripada aktiviti perkapalan dipantau rapi, termasuk ketika jerebu, Malaysia juga dapat memperkukuh komitmennya untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Nazery turut menggesa pengusaha maritim melindungi pekerja yang terdedah kepada aktiviti luar.
"Ia termasuk di dermaga, limbungan, tapak pembinaan dan pembaikan kapal serta operasi luar pesisir, terutama apabila keadaan jerebu bertambah buruk," katanya.
