PETALING JAYA: Sebanyak 23 kawasan mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat 10 pagi ini, dengan negeri-negeri di selatan Semenanjung Malaysia terus menjadi kawasan paling terjejas akibat jerebu.
IPU tertinggi dicatatkan di Kota Tinggi (170), Johor, manakala kawasan lain di negeri itu turut terus berdepan jerebu, iaitu Pasir Gudang (169), Pengerang (164), Larkin (159), Tangkak (155), Batu Pahat (152) dan Kluang (152).
Di Negeri Sembilan, bacaan IPU tidak sihat direkodkan di Seremban (166), Nilai (164) dan Port Dickson (152), manakala Pahang melaporkan kualiti udara yang sama di Balok Baru (162), Rompin (157) dan Indera Mahkota (130).
Terengganu turut terjejas dengan bacaan 156 di Kemaman di Paka (155) dan Kuala Terengganu (151).
Di Lembah Klang, IPU kekal pada tahap tidak sihat di Putrajaya (151), Cheras (127) dan Johan Setia (123). Melaka mencatatkan bacaan IPU yang sama di Bukit Rambai (154), bandar Melaka (117) dan Alor Gajah (107).
Serian turut mencatatkan bacaan tidak sihat (116).
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan lebih 300 dikategorikan bahaya.
