KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul membahaskan jerebu dan pencemaran udara yang melanda negara sebagai krisis nasional susulan kesan terhadap kesihatan awam, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Usul dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membolehkan isu itu dibahaskan segera di kamar khas, petang ini.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, berkata usul itu memenuhi ketiga-tiga syarat ditetapkan iaitu perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
“Yang Dipertua telah meneliti perkara ini dan mendapati bahawa perkara-perkara ini adalah perkara yang tertentu. Ia adalah bagi kepentingan orang ramai dan perkara ini juga perlu disegerakan.
“Oleh yang sedemikian, Yang Dipertua membenarkan usul ini untuk dirundingkan pada hari ini di kamar khas petang ini,” katanya.
Terdahulu, Khoo dalam usulnya berkata Malaysia berdepan episod jerebu berpanjangan sejak awal Ogos lalu yang menjejaskan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, bacaan indeks pencemar udara (IPU) di beberapa lokasi mencecah tahap tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya.
Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar memaklumkan jerebu berpunca daripada asap kebakaran di kawasan titik panas di Kalimantan dan Sumatera, manakala keadaan panas serta kering meningkatkan risiko kebakaran berterusan.
Menurutnya, jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya turut menjejaskan kesihatan awam, produktiviti dan aktiviti ekonomi serta berpotensi mengancam keterjaminan makanan.
Khoo berkata, pendedahan berterusan kepada pencemaran udara boleh meningkatkan risiko penyakit pernafasan dan kardiovaskular, selain menambah tekanan terhadap sistem kesihatan negara.
Justeru, beliau meminta Dewan Rakyat membahaskan tindakan lebih tegas dan menyeluruh bagi melindungi rakyat, memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jerebu.
Beliau turut menegaskan perkara itu perlu disegerakan kerana keadaan jerebu boleh berubah dengan pantas bergantung pada cuaca, arah angin dan aktiviti titik panas, sekali gus memberi kesan segera serta jangka panjang kepada kesihatan rakyat, khususnya golongan rentan.
