PETALING JAYA: Bilangan pekerjaan langsung yang diwujudkan daripada pusat data tidak berkadar terus dengan jumlah pelaburan yang diumumkan, kata Menteri Sumber Manusia R Ramanan.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Ramanan berkata, hal demikian kerana pusat data merupakan projek berintensifkan modal, dengan sebahagian besar pelaburan disalurkan untuk perolehan peralatan berkualiti tinggi, infrastruktur elektrik, dan sistem penyejukan.
"Walau bagaimanapun, majoriti pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor ini adalah bernilai tinggi dan memerlukan kemahiran teknikal yang khusus," katanya.
Ramanan menjawab soalan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang meminta statistik terkini jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan untuk rakyat Malaysia menerusi pelaburan pusat data.
Projek pusat data dan pengkomputeran awan menarik pelaburan RM95.8 bilion pada separuh pertama tahun ini, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Malaysia mencatatkan RM385.7 bilion dalam pelaburan berkaitan pusat data sejak 2021 hingga separuh pertama 2026, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur dalam kalangan syarikat teknologi global seperti Microsoft, Google, dan Amazon.
Ramanan berkata, kementerian menerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) telah mengenal pasti 12 skop kerja pekerjaan berpermintaan tinggi dalam sektor pusat data, yang mana sebahagian besar memerlukan kemahiran teknikal khusus.
Ia termasuk jurutera elektrik, jurutera mekanikal, pengurus projek (IT), jurutera pentauliahan, arkitek penyelesaian, jurutera keselamatan rangkaian, pengurus fasiliti, juruteknik pusat data, juruteknik fasiliti, dan chargeman.
Daripada 12 peranan tersebut, lapan memerlukan Ijazah, satu memerlukan diploma, dua memerlukan kelulusan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), dan satu (chargeman) memerlukan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beserta sijil kekompetenan Suruhanjaya Tenaga.
Ramanan berkata, ini menunjukkan sektor tersebut menawarkan peluang kerja kepada graduan universiti dan graduan institusi TVET.
Malaysia mempunyai 125 pusat data dengan kapasiti aktif 925.6MW, manakala 2GW lagi dalam pembinaan dan 3.1GW dalam perancangan, memetik laporan syarikat penyelidikan BMI.
Meskipun berdepan persaingan yang semakin meningkat daripada Vietnam dan Thailand, BMI menjangkakan Malaysia akan kekal sebagai pasaran pusat data teraju Asia Tenggara.
Namun, timbul kebimbangan yang dilaporkan secara meluas menyatakan lonjakan pelaburan pusat data di Malaysia boleh memberi tekanan kepada bekalan air dan elektrik.
