KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertanggungjawab terhadap kerugian berpunca daripada tindakan penguatkuasaannya ke atas struktur papan iklan di Lebuhraya Persekutuan, tahun lalu.
Dalam keputusan berhubung semakan kehakiman Danwan Corporation Sdn Bhd pada Isnin, Hakim Azizan Arshad memutuskan syarikat itu berhak menuntut ganti rugi, jika ada, yang boleh dikaitkan di sisi undang-undang dengan tindakan penguatkuasaan berkenaan.
Jumlah ganti rugi akan ditaksir secara berasingan mengikut peruntukan berkaitan dalam Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan ganti rugi peribadi terhadap datuk bandar Petaling Jaya, yang dinamakan sebagai responden kedua, mengikut Seksyen 125 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Mahkamah turut memerintahkan MBPJ dan datuk bandar membayar kos RM5,000 kepada Danwan.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan lanjut berhubung taksiran ganti rugi pada 11 Nov.
Pertikaian itu membabitkan struktur iklan dikendalikan Danwan di KM32.9 Lebuhraya Persekutuan.
Pada Ogos tahun lalu, MBPJ mengeluarkan notis mengarahkan papan iklan itu diturunkan mengikut Undang-undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.
Danwan berkata, struktur berkenaan terletak di rizab jalan persekutuan dan beroperasi di bawah lesen dikeluarkan Kementerian Kerja Raya mengikut Seksyen 85A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Syarikat itu berhujah bahawa kawal selia struktur papan iklan di sepanjang Lebuhraya Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa kementerian, bukannya pihak berkuasa tempatan.
Pengarah Danwan, Stanley Ho, berkata semakan kehakiman itu bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai bidang kuasa masing-masing antara kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa tempatan terhadap struktur pengiklanan di rizab jalan persekutuan.
Katanya, syarikat itu kekal komited bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan struktur pengiklanannya mematuhi semua syarat ditetapkan.
