PETALING JAYA: U Mobile akan membawa Jelajah ULTRA5G ke Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu bermula hari ini hingga 7 Nov selepas mencapai 90% liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara.
Syarikat telekomunikasi itu berkata, sasaran berkenaan dicapai sembilan bulan lebih awal daripada jadual.
Jelajah ULTRA5G: Edisi Pantai Timur itu menawarkan pengalaman digital interaktif, demonstrasi teknologi 5G, aktiviti kecerdasan buatan (AI) dan persembahan artis Sharul Kamal serta Tomok.
Menurut syarikat telekomunikasi itu, pengunjung turut berpeluang berinteraksi dengan robot humanoid berteknologi 5G serta mengenali produk dan perkhidmatannya.

Jelajah bermula di Kuantan hari ini, termasuk di pusat beli-belah, pasar dan Esplanade Kuantan. Acara berasingan akan berlangsung di TC Uptown, Teluk Cempedak, esok.
Program diteruskan di Bachok pada 30 Okt, diikuti beberapa lokasi di Kota Bharu pada 31 Okt.
Di Terengganu, jelajah berlangsung di sekitar Kuala Terengganu pada 6 Nov sebelum berakhir di Pantai Teluk Ketapang pada 7 Nov.
U Mobile turut menawarkan percubaan eSIM ULTRA5G percuma selama tujuh hari dengan kuota data 5G sebanyak 10GB.
Syarikat itu berkata, rangkaian ULTRA5G diiktiraf Ookla awal tahun ini sebagai rangkaian 5G terpantas dan rangkaian mudah alih terbaik di Malaysia.
U Mobile turut menyifatkan ULTRA5G mempunyai liputan 5G kawasan berpenduduk paling luas di negara ini.
